Sunday, October 10, 2010

My Inspiration


Hasil gabungan mama yang memang santik time muda2 ditambah lagi dengan beliau aku yang boleh dikategorikan antara jejaka hensom sewaktu zaman mudanya, maka lahirlah aku yang memiliki kedua ciri tersebut ( eleh, angkat bakul pula...tapi siapa lagi yang boleh diharap untuk puji diri kita? ha..jawab! ) :)

Zaman muda mama tidaklah seindah mana. Macam tu juga dengan bapa. Aku seringkali mendengar cerita kisah silam mereka yang penuh cabaran, peperangan ( beliau memang lahir semasa zaman perang2 ). Dan mama pula lahir sebelum Malaysia merdeka!

Mama
Dilahirkan pada 14 April 1952 di kampungnya, Tubau Ranau. Usianya baru mencecah 2 minggu, ibunya telah meninggal dunia dan dia dijaga oleh neneknya yang prihatin. Pada usianya 4 tahun lebih, keluarganya dan beberapa saudara yang lain telah bertekad dan berpindah ke Batu 60, Beaufort. Di sana mereka juga mempunyai tanah untuk tapak rumah dan kebun ( bagusnya orang dulu2 banyak tanah).

Sekian lama ibunya pergi, bapanya pula berkahwin baru. Mama dapat ibu tiri. Namun kasih ibu tiri tidaklah seagung kasih ibu kandung. Mama hanya dilayan baik oleh neneknya yang menjaganya dari kecil. Oleh kerana ibu tirinya juga tidak lanjut usia, mama sekali lagi mendapat ibu tiri. Oleh sebab itu mama mempunyai adik beradik sebapa seramai 16 orang. Tetapi yang tinggal hanya 12 orang. Yang selebihnya telah pergi buat selama-lamanya.

Pada usia mama 6 tahun,mama mula bekerja. Membuat pekerjaan yang kalau dibandingkan dengan zaman sekarang, hanya kaum lelaki yang berumur lingkungan 18 tahun saja yang mampu melakukannya. Kerja menoreh getah, membuat beronti untuk tapak Railway, bersawah padi dan hampir semua kerja kampung mama lakukan. Demi mencari rezeki untuk meneruskan hidup.

Pada umur mama 18 tahun, seorang jejaka muslim berasal dari kampung Laboi, Maraba telah mengambil mama sebagai teman hidupnya. Disangkakan penderitaan mama berakhir selepas itu. Tetapi lebih perit lagi dari zaman bujangnya. Kejadian ngeri iaitu hampir mati di hujung kapak & parang yang membuat mama rasa bersyukur kerana jodohnya dengan suami pertamanya berakhir tidak lama selepas kejadian itu. Namun, mama tidak sesekali menyesali atas apa yang berlaku dalam hidupnya dan insiden yang menimpa suaminya. Yang dipercayai ditembak mati oleh seseorang yang cemburukan suaminya.

Selepas kejadian itu, mama kembali mengharungi hidup berdua dengan anak keduanya ( anak pertama meninggal semasa usia 40 hari sebab sakit ). Mama kembali meneruskan kehidupan harian dengan bercucuk tanam, menanam sayur-sayuran dan bersawah padi. Dengan usia anaknya yang baru 9 bulan waktu itu, mama gendong ke mana sahaja hala tuju. Ke sawah padi, ke kebun sayur, ke sungai. Semua mama lakukan sendirian. Kehidupan mama kembali tenang.

Tidak lama selepas itu, mama dilamar oleh seorang jejaka. Mama mulanya menolak, tetapi kerana lelaki tersebut bersungguh-sungguh ingin mengahwini mama, akhirnya mama setuju. Dengannya mama selamat. Tapi sekali lagi mama tekanan perasaan, bukan sebab didera oleh suami tapi sebab terdera dengan perasaan sendiri. Semua tugas dan tanggungjawab ke atas anak-anak adalah bergantung kepada buah fikiran mama. Bapa pula tidak pandai membuat keputusan sendiri. Hanya tahu membuat pekerjaan harian, iaitu turun ke laut mencari rezeki. Tidak berani mencari inisiatif sendiri. Mama lah 'mastermind' keluarga masa itu. Akhirnya keluarga mereka semakin bertambah dengan bilangan anak bersama seramai 7 orang.

Timbul lagi cabaran baru buat mereka berdua. Membesarkan anak bukanlah satu perkara yang mudah. Lebih-lebih lagi persekitaran ekonomi yang sangat tidak memuaskan ketika itu. Semuanya bergantung ke atas tulang empat kerat. Sangat sesuai diibaratkan " kais pagi makan pagi,kais petang makan petang". Semakin hari kos sara hidup semakin meningkat tetapi pendapatan harian semakin menurun. Akhirnya mama mengambil inisiatif untuk bekerja bagi membantu bapa menampung sara hidup. Semua keinginan tidak pernah tertunai, yang tertunai hanyalah keperluan yang betul-betul diperlukan sahaja. Bagaimanapun persekolahan ketujuh-tujuh orang anak mereka tidak pernah terbantut. Semua ini adalah kerana semangat mama yang tidak mahu melihat kami sama susah seperti hidup mereka dahulu.

Namun kami masih beruntung sebab mempunyai tanah yang boleh dikatakan cukup untuk menampung hidup. Hari-hari mama bekerja sebagai penoreh, kadang-kadang bapa ikut menolong tetapi tidaklah sehebat tugas mama. Biar dalam keadaan sakit, demam dan lapar, mama tetap meneruskan kerja hariannya demi mendapatkan sesuap nasi untuk semua anak-anaknya. Harga pasaran getah pada masa itu sangat rendah, lebih kurang 70sen sekilo. Lebihan dari belanja makan, mama simpan duit. Mana tau ada masa-masa suntuk, duit tu boleh digunakan.

Akhirnya anak-anak mereka semakin membesar, dan menamatkan persekolahan. Anak kedua, mama haikal mendapat tawaran untuk melanjutkan pelajaran ke salah satu universiti di Jepun pada tahun 1995. Tapi tawaran tersebut terpaksa ditolak sebab kesuntukan masa untuk membuat persiapan. Perjuangan diteruskan lagi. Akhirnya pada tahun 2000 sekali lagi anak mama yang ke-5 ( selepas tamat SPM ) mendapat tawaran melanjutkan pelajaran ke salah sebuah universiti tempatan. Selesai 3 tahun pengajian, dia kembali ke tanah air dan berkhidmat sebagai pensyarah di Politeknik KK sampai sekarang. Pada tahun 2005 pula, anak mama yang ke-4 pula melanjutkan pelajaran di politeknik KK. Pada tahun yang sama juga kami sekeluarga telah kehilangan seorang ahli keluarga, iaitu anak mama yang ke-2 telah kembali ke rahmatullah pada usianya yang ke-28 tahun. Pada penghujung tahun 2006, kami sekali lagi kehilangan orang yang kami kasihi buat selama-lamanya iaitu bapa kami. Namun kami pasrah. Dan yang terakhir pada tahun 2009, aku selaku puteri bongsu mama pula melanjutkan pelajaran di politeknik yang sama. Aku belum pasti lagi siapa aku 5 tahun selepas ini. Semoga kami berjaya dalam hidup untuk dunia sampai akhirat.

Dengan ini, membuktikan bahawa semangat mama dan bapa telah membawa kami ke puncak jaya. Terima kasih mama dan bapa! Jasamu akan kami ingat selamanya.

No comments:

Post a Comment